CYBERJAYA : Pada 17 Ogos 2022, Multimedia University telah menerima lawatan perkongsian ilmu dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak Teluk Intan yang diketuai oleh Guru Penolong Kanan (Pentadbiran) Puan Julia Mustaffa, sebagai salah satu inisiatif program Sekolah Angkat MMU 2022. Lawatan ini disambut baik oleh Presiden MMU, Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud.

Tujuan lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar dan guru-guru mengenai kehidupan di universiti, serta teknologi-teknologi terkini dalam sector pendidikan. Menurut Presiden MMU, Multimedia University juga dikenali sebagai MMULand, adalah tempat dan institusi untuk pelajar-pelajar menjadikan mimpi sebagai satu realiti.

Para pelajar dan guru telah dibawa melawat beberapa fakulti di MMU, antaranya Fakulti Seni Sinematik, Fakulti Multimedia Kreatif, Fakulti Kejuruteraan, serta Fakulti Kompuiter dan Informatik. Pelajar didedahkan antaranya dengan proses perfileman, bagaimana robot berfungsi, dan juga pertanian pintar (Smart Farming).

Bagi Guru Penolong Kanan SMK Seri Perak, Puan Julia Mustaffa, lawatan ini membuatkan beliau tertarik dengan beberapa perkara yang boleh diaplikasikan di sekolah terutamanya Smart Farming dan Green Screen Studio. Beliau juga mencadangkan para pelajar untuk menyambung pelajaran di Multimedia University kerana persekitaran yang menarik, kondusif, selesa dan lengkap. Menurut salah seorang pelajar di SMK, Nurrabiatul Adawiyah Muhamad Nazri, kehidupan di universiti adalah sesuatu yang sukar dibayangkan sebelum ini. Minat pendalam terhadap perfileman membuatkan adik Nurrabiatul lebih teruja dalam lawatan ini. Kejuruteraan pula adalah tumpuan kepada adik Muhammad Azim Hasbullah Abdul Rahim, pelajar SMK Seri Perak. Lawatan ini memberikan tujuan yang lebih jelas kepadanya dalam mendalami bidang kejuruteraan.

Turut bersama menjayakan lawatan ini adalah Ts. Puan Natalya Rudina Dato Shamsuar, Pengarah Jabatan Pemasaran Strategik MMU, Puan Hazeatuladila, Pegawai Komuniti Digital MMU, Ts. Amir Shahlan, Dean Fakulti Seni Sinematik, dan Dr. Sin Yew Keong, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan.

Kami di Multimedia University berharap lawatan ini dapat memberikan manfaat kepada guru-guru, pelajar dan masyarakat.